KENAPA DIANJURKAN BERQURBAN?
Ia adalah sebagai menunjukkan rasa syukur kepada Allah s.w.t di atas berbagai nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada kita, yang tidak terkira banyaknya (nikmat pancaindera, udara, makanan, kesihatan, pekerjaan, dll).
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah”. (Surah Al-Kauthar: 1-2)
Orang yang berkemampuan, tetapi tidak mahu berqurban, adalah orang yang tidak tahu berterima kasih kepada Allah s.w.t dan ianya dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya
Diriwayatkan satu hadis daripada Abu Hurairah, maksudnya :
“Sesiapa yang mempunyai berkemampuan, namun tidak mengerjakan ibadat qurban, maka jangan sesekali mendekati tempat sembahyang kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim)
KELEBIHAN IBADAH QURBAN
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.”
(Riwayat al-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata:
“Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah qurban itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya: “maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.”    (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
HUKUM BERQURBAN
Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hukum ibadah qurban adalah sunat mu’akkad, iaitu ibadah yang sangat-sangat dituntut mengerjakannya. Makruh bagi orang yang berkemampuan jika dia tidak melakukan korban.
Dalam mazhab Imam Abu Hanifah, ia dipandang sebagai ibadat wajib, iaitu sesiapa yang meninggalkannya dikira berdosa sekiranya mereka daripada golongan berkemampuan dan berkedudukan.
SUNNAH DALAM MEMILIH HAIWAN DAN PEMBAHAGIAN DAGING QURBAN
Memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Rasulullah s.a.w. setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk.
Mengagihkan satu pertiga daging qurban untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga atau orang ramai, manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin. Namun seandainya disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna.

Leave a Reply

You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>