Khutbah jumaat adalah ucapan atau syarahan yang disampaikan oleh para khatib melalui mimbar masjid sebagai rukun yang diwajibkan dalam solat jumaat pada setiap minggu, disamping memainkan peranan penting dalam kehidupan individu dan masyarakat. Ia bukan hanya sebagai syarat untuk memenuhi rukun wajib solat jumaat, malahan ia berperanan sebagai salah satu medium yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada para jemaah dan masyarakat islam.
Selain dari itu, khutbah jumaat turut berperanan sebagai media yang berpengaruh dalam menyampaikan mesej- mesej pembangunan insani, duniawi dan ukhrawi dimana ianya merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat islam sejagat. Kewujudan khutbah jumaat bermula dengan turunnya perintah Allah S.W.T agar menunaikan solat jumaat. Ini terkandung dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Wahai orang- orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jualbeli yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui “ ( Al- Juma’ah : 9 )
FirmanNya lagi yang bermaksud:
“ Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bersurai kepadanya dan meninggalkan engkau sedang engkau masih berdiri ( berkhutbah ). Katakanlah: “ Apa yang ada disisi Allah itu lebih baik daripada permainan dan perniagaan”. Dan Allah itu sebaik- baik pemberi rezeki. “ ( Al- Juma’ah : 11 )
Sejarah telah mencatatkan bahawa khutbah jumaat yang pertama telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W ketika solat jumaat yang pertama di Madinah. Khutbah baginda dikatakan dapat melahirkan rasa keyakinan terhadap kekuasaan tuhan yang tidak terbatas dan melahirkan kecintaan terhadapNya serta mendorong mengaitkan segala amal perbuatan yang baik, disamping tidak melupakan hal- hal keadaan semasa dengan asas tujuannya adalah keagamaan. Rasulullah S.A.W ketika berkhutbah bukan sahaja menaikkan semangat pendengar bahkan melahirkan rasa keinsafan kepada mereka di atas kebenaran yang diucapkan.
Selain itu khutbah baginda turut meliputi persoalan ekonomi, politik, sosial dan sebagainya yang mempunyai hubungan dengan kehidupan dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun asas utama dalam agama yang berkaitan dengan akidah islam seperti keesaan Allah, hubungan antara manusia dengan tuhannya dan antara manusia sesama manusia tidak pernah baginda abaikan.Oleh itu, khutbah jumaat turut berperanan sebagai platform dakwah yang diamanahkan oleh Allah untuk menegakkan yang ma’ruf dan melarang semua bentuk kemungkaran.Rukun khutbah jumaat mempunyai lima rukun yang mesti dipenuhi bagi melengkapkan sesebuah teks khutbah jumaat. Rukunnya adalah seperti berikut:
1.Memuji Allah dengan menyebut ‘ Alhamdulillah “ . Dalam perkara ini Jabir ada menerangkan bahawa Nabi s.a.w telah membaca khutbah di hari jumaat, lalu ia memuji Allah dan menyanjunginya. ( Riwayat Muslim )
2.Selawat kepada Nabi S.A.W
3.Memberi wasiat / amanat kepda para jemaah supaya bertakwa kepda Allah S.W.T
4.Membaca sepotong ayat al-Quran pada salah satu daripada dua khutbah. Dibaca dalam khutbah pertama adalah lebih baik.
5.Memohon doa untuk keselamatan kaum muslimin dan muslimat dalam khutbah yang kedua.
Syarat sah khutbah jumaat.
1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci dari hadas kecil dan besar.
4. Berdiri atas orang yang kuasa.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun- rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh dibaca dalam bahasa ibunda seperti membaca selawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7.Berturut- turut antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua.Sabda Nabi s.a.w ” Adalah Rasulullah di hari jumaat membaca dua khutbah dan ia duduk antara keduanya “( Riwayat Bukhari & Muslim)
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim.

Leave a Reply

You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>