Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum solat berjamaah:

1. Sunat mu’akkad – Mazhab Hanafi dan Maliki.
2. Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) – Ulama’ Hanbali.
3. Fardu kifayah – Pendapat mazhab Syafi’i.

1.  Pendapat ulama’ yang mengatakan sunat mengemukakan dalil dari beberapa hadis, antaranya ialah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Solat berjamaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 darjat”. [HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650 dari Ibnu Umar ra].

Kata mereka, hadis ini menjelaskan amalan solat berjamah adalah lebih baik dari solat sendirian, iaitu kelebihan yang bukan wajib.

2. Para ulama’ yang mengatakan bahawa solat berjamaah itu fardu ain/wajib menggunakan beberapa dalil antaranya :

a.  Sabda Rasulullah saw: “Seberat-berat solat ke atas para munafiqin ialah solat isya’ dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan solat berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa orang yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka”. [HR Bukhari No. 644. & Muslim No. 651 dari Abu Hurairah]

Hadis ini menunjukkan solat berjamaah wajib ke atas setiap orang (fardhu ain) lelaki yang mampu. Sekiranya solat jamaah adalah sunat tentulah Rasulullah saw tidak memberi amaran untuk membakarnya.

b.  Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, sabda Rasulullah SAW, “Tidak sah sembahyang bagi tetangga masjid kecuali di masjid.” (Hadis riwayat Imam Daruquthni dan Hakim)
c. Ibnu Ummi Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah saw bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.”  [HR Abu Daud No. 552, “Sahih”].

Kalaulah orang buta tidak diberi kelonggaran untuk meninggalkan solat berjemaah,  orang yang celik tentulah lebih lagi wajibnya.

3. Pendapat yang menyatakan Fardu kifayah menggunakan dalil berikut.

Sabda Rasulullah saw: “Tidak terdapat tiga orang yang mendiami sebuah kampung atau penempatan yang tidak didirikan solat jamaah melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang bersendirian”. (HR Abu Daud No. 547. “Hasan”]

Hadis ini menunjukkan solat berjamaah adalah fardhu kifayah ke atas umat ini.

Sebab-sebab dibenarkan meninggalkan solat berjamaah;

a-  Keuzuran umum, seperti hujan lebat, angin kencang atau jalan yang terlalu becak

Abdullah bin Umar ra telah melaungkan azan pada malam yang sejuk dan berangin. Kemudian beliau berkata: “Bersolatlah di rumah kamu”. Kemudian beliau menyambung lagi: “Rasulullah saw menyuruh muazzin supaya berkata: “(Apabila malam terlalu sejuk dan hujan) bersolatlah di rumah kamu”. [HR Al-Bukhari No. 635, Muslim No. 697]

b-  Keuzuran Khas seperti sakit, dalam keadaan terlalu lapar dan dahaga, dan takut kepada ancaman bahaya ke atas diri dan hartanya.

Dari Ibnu Abas Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendengar azan, sedang tidak ada uzur yang menghalanginya mengikuti sembahyang berjema’ah, maka tidak sah sembahyang yang dilakukan sendirian.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa itu uzur?” Rasulullah SAW menjawab: “Rasa takut (tidak aman) atau sakit.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Kesimpulannya:

Apabila mendengar azan, bagi kaum lelaki muslimin hendaklah seboleh mungkin meninggalkan seketika urusan peribadi atau keduniaan; serta dengan rendah diri datang menunaikan solat berjamaah di masjid untuk bersujud kepada Allah.  Samada ianya dikira sebagai sunat muakkad, fardhu kifayah atau fardhu ‘ain; solat berjemaah merupakan cara kita menunjukkan ketaatan dan menghampirkan diri kita kepada Allah swt. Siapalah diri kita, kerana kesudahan kita akhirnya akan kembali kepada Allah jua. Solat berjemaah di masjid, jauh sekali daripada rugi, kerana Allah memberi ganjaran pahala 27 kali ganda.

Allah sedang memerhatikan kita dan sedang menilai kita, sejauh mana ketaatan kita kepada-Nya.
Sama-samalah kita ambil manfaat di bulan Ramadhan. Mulakanlah perubahan dalam diri sekarang

Tags: , , , ,

2 Comments to “Hukum Solat Berjemaah”

  1. You have observed very interesting points! ps nice web site.

  2. I was curious about your upcoming post admin seriously necessary this website super astounding webpage

Leave a Reply

You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>